Thursday, March 03, 2016

Hidup Satu Pementasan


Dalam perjalanan ke Segamat petang tadi, terasa seperti zaman waktu belajar dahulu. Menaiki bas setelah sekian lama sambil melihat kehijauan panorama alam semula jadi. Cepat sungguh waktu berlalu, sehinggakan terlupa saat-saat indah seperti pada waktu itu. 


Jika diikutkan mahu saja masa diputarkan semula sewaktu zaman kanak-kanak. Biar aku membesar sekali lagi, biar aku menjadi kanak-kanak sekali lagi, biar aku menjadi remaja sekali lagi. Aneh sungguh permintaan ini. Sesungguhnya memang tak mungkin akan terjadi. Jikalau ditunaikan pun, mungkin akan terjadi dalam mimpi dan jadikannya sebagai impian indah.

Jikalau betul permintaan aneh itu ditunaikan, apa yang hendakku lakukan? Oh, sangat banyak! Paling utama sekali, aku takkan sesekali berpindah ke Port Dickson. Aku ingin menetap di Kuala Lumpur sampai bila-bila. Ya, aku ingin ubah saat itu. Kenapa? Kerana di situlah titik permulaannya apabila segala-galanya berubah menjadi pahit

Selepas kejadian pahit itu berlaku, seringkali aku bermimpi sehingga mengigau, menangis, menjerit pada malam hari. Bila tersedar baru terasa air mata hangat mengalir di pipi. Begitu teruk sekali terkesannya kejadian itu pada diriku. Emosi seringkali berubah menjadi tidak stabil sehingga meninggalkan kesan pada pelajaran dan kesihatanku. Mujur pada waktu itu aku mendapat sokongan yang kuat dari si dia. Rakan-rakanku sendiri tidak mengetahui hal ini. Tak perlu digembar-gemburkan rasanya. Aku tak perlukan simpati dan rasa kasihan. 

Aku tak bisa bayangkan
Bila kau tak ada di sini
Aku tak habis pikirkan
Bila kau tak lagi temani aku

Terngiang-ngiang lagu ini di halwa telingaku petang tadi, meresap masuk ke dalam jiwa. Ya, aku memang tak boleh bayangkan jika dia tiada dalam hidupku. Mungkin tak jadi 'orang' agaknya.

Ya, aku sudah dewasa. Sudah cukup dan terlalu banyak mempelajari erti hidup. Pengalaman lalu dikutip satu persatu, dilipat dan disimpan di dalam memori untuk dijadikan sebagai pengajaran. Lihat ke belakang dengan penuh kepuasan, dan pandang depan dengan penuh keyakinan. Pengalaman tersebut mendewasakan diriku untuk menjadi insan yang lebih tabah. Cukup kuat untuk mengharungi dunia yang semakin lama semakin nazak, nazak dari segi politik, ekonomi dan sosiologi. 

Tidak lama lagi, kehidupanku mula berubah secara perlahan-lahan untuk mencipta suatu watak yang baru dalam kisah perjalanan hidupku. Mungkin sudah tiba masanya. Ataupun mungkin juga aku perlu menunggu lagi? Entah. Serahkan saja pada takdir. 


lovenota : hidup adalah satu pementasan drama


2 comments:

komen yang baik2 je taw!
thanks! arigatou! gracias! danke! gamsahabnida!
(✿◠‿◠)

Copyright © 2008-2020 by Ⓜⓘⓢⓢ Ⓑⓐⓛⓠⓘⓢ™. All Right Reserved ®