Tuesday, October 07, 2014

Kronologi Kehilangan Bot Tempur CB90 TLDM


Kronologi Kehilangan Bot Tempur CB90 TLDM



6 OKTOBER 2014

12:05 AM : Bot tempur TLDM terputus hubungan di perairan Sabah
  
Bot Tempur CB90

Sebuah bot tempur jenis CB90 milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dilaporkan hilang di perairan ini, tengah hari semalam. Bot tempur dengan nombor pendaftaran CB204 itu dilaporkan hilang antara jam 10.35 pagi hingga 3 petang di perairan Pulau Mengalum, 57 batu nautika dari Labuan.

Difahamkan, ketika kejadian bot berkenaan membawa tujuh krew bagi mengiringi sebuah kapal milik TLDM untuk tugasan rondaan. Bot terbabit berlepas dari Pangkalan TLDM di Teluk Sepanggar kira-kira jam 5 pagi ke gugusan Semarang Peninjau, namun meminta kebenaran untuk berpatah balik akibat cuaca buruk beberapa jam kemudian.

Sumber memberitahu BH, maklumat berhubung kejadian itu diterima pada jam 3.30 petang sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan termasuk dengan bantuan beberapa agensi keselamatan lain.

"Pada masa sama, kapal TLDM yang bersama-sama bot tempur terbabit cuba menghubungi CB204 selain menjalankan pencarian di sekitar Pulau Mangalum dan Pulau Gaya, namun tidak berhasil," katanya ketika dihubungi di sini, malam tadi.


11:16 AM : Kawasan pencarian bot tempur TLDM dibahagi kepada 4 sektor - Panglima
  

TLDM membahagikan kawasan pencarian bot tempur CB204 bagi memudahkan Operasi Mencari dan Menyelamat (Ops SAR) tujuh anggota kapal terbabit kepada empat sektor di sekitar perairan pantai barat Sabah.

Panglima TLDM, Tan Sri Abdul Aziz Jaafar, dalam twitter beliau berkata sektor terbabit iaitu A,B, C dan D membabitkan enam kapal TLDM dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta sebuah pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

TLDM mengerahkan empat kapal iaitu Kapal Diraja (KD) Lekiu, KD Pari, KD Serang dan KD Ganas, manakala APMM menghantar Kapal Maritim (KM) Mabul dan KM Berani bagi membantu operasi berkenaan. Awal pagi ini, TUDM mengerahkan pesawat Beechcraft bagi membantu operasi berkenaan tetapi hujan lebat menyukarkan pencarian.



Kapal Maritim (KM) Mabul dan KM Berani

Bot tempur jenis CB90 milik TLDM itu dilaporkan terputus hubungan komunikasi dengan kapal pengiring KD Paus ketika dalam pelayaran ke kawasan operasi Terumbu Layang-Layang, kira-kira jam 11.15 pagi semalam. Seramai tujuh anak kapal yang diketuai Leftenan Azri Bakar menaiki bot tempur berkenaan.


3:09 PM : Bot tempur TLDM hilang ketika angin kencang, laut bergelora
  
Angin kencang dan laut bergelora berlaku di perairan Sabah ketika bot tempur TLDM hilang di perairan Pulau Mengalum, Sabah. Jurucakap Pusat Cuaca Nasional Jabatan Meteorologi Malaysia berkata, keadaan angin kencang dan laut bergelora itu berkelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam.

"Keadaan pada waktu itu agak bergelora dan ombak pun agak tinggi (3.5 meter), jadi memang berbahaya. Pihak kami sudah mengeluarkan amaran kategori pertama bermula Selasa lalu sehingga 8 Oktober ini," katanya.

Sehingga kini, lima aset TLDM, tiga aset APMM serta satu pesawat TUDM terlibat dalam operasi SAR bot tempur TLDM yang hilang itu.


3:17 PM : Senarai anggota TLDM yang hilang

Berikut adalah senarai tujuh anggota TLDM yang hilang bersama bot tempur CB204.

1. Leftenan Azri Bakar
2. BK PAP Christopher ak Mani
3. BM TMK Ince ak Evin
4. BM TMK Steven Hudson ak Miso
5. BM JTP Nor Azuan Ariffin
6. LK KOM Sulhajji Daah
7. LK PAP Mohd Azhry Maani


4:07 PM : Semua kru bot tempur CB90 diyakini selamat - Panglima TLDM
  
Kesemua tujuh anggota TLDM di dalam bot tempur yang hilang diyakini selamat. Panglima TLDM, Tan Sri Abdul Aziz Jaafar, berkata bot CB90 itu masih boleh beroperasi walaupun dalam keadaan cuaca buruk kerana ia dilengkapi sistem apungan yang tinggi. Jika bot itu terbalik akibat daripada pukulan ombak besar mahupun ribut kencang, ia secara automatik akan terapung semula.

"Apa yang saya harapkan, ketika kejadian itu, tidak berlaku sebarang kebocoran pada bot berkenaan," katanya. Beliau berkata, operasi SAR akan diperluaskan walaupun keadaan cuaca buruk di perairan Sabah.


5:19 PM : Bot tempur TLDM berjaya dikesan - Panglima
  
Panglima TLDM, Tan Sri Abdul Aziz Jaafar mengesahkan bahawa bot tempur CB204 sudah berjaya dikesan. Beliau berkata, KD Ganas menerima signal dipercayai daripada CB204 di kawasan Sinar Sakti di perairan pantai barat Sabah pada jam 3 petang tadi. 

"KD Ganas dan KD Lekiu sedang menuju ke posisi bot untuk menyiasat. Bot berada pada kedudukan 7 batu nautika daripada KD Ganas. Tolong doakan bot selamat," katanya menerusi Twitter beliau.


6:11 PM : 'Semua anak kapal selamat tetapi kelaparan' - Leftenan Azri
  


Panglima TLDM, Tan Sri Abdul Aziz Jaafar mengesahkan bahawa semua anak kapal bot tempur CB204 berada dalam keadaan selamatKomander bot, Leftenan Azri Bakar memaklumkan kepada KD Ganas melalui radio VHF CH 16, bot dan semua warga selamat tetapi kelaparan. Beliau berkata, krew bot tempur berkenaan akan dipindahkan ke KD Lekiu untuk dibawa pulang ke Pangkalan TLDM, Kota Kinabalu. Operasi membawa keluar krew dijangka mengambil masa 23 jam, tambahnya.


7 OKTOBER 2014 

10:02 AM : Bot tempur ditunda ke TLDM KK jika cuaca mengizinkan

Bot tempur CB204 akan ditunda ke Pangkalan TLDM Kota Kinabalu, jika cuaca mengizinkan. Penglima Wilayah Laut 2, Laksamana Muda Datuk Mohammad Rosland Omar berkata, jika operasi menunda itu dilaksanakan hari ini, CB204 akan tiba di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu di Sepanggar, esok, pada kira-kira 8 pagi.

"KD Lekiu telah diarah ke lokasi bot dan dijangka tiba 4 pagi hari ini (Selasa). Bot CB204 akan ditunda jika cuaca mengizinkan," katanya.



3:04 PM : Kru bot tempur, anggota KD Paus diterbang ke pangkalan atas faktor kesihatan

Seorang kru bot tempur CB204 dan seorang anggota Kapal Diraja (KD) Paus, akan diterbangkan ke Pangkalan TLDM di Teluk Sepanggar atas faktor kesihatan. Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar, berkata kedua-dua anggota berkenaan diterbangkan dengan helikopter Super Lynx dari perairan pantai barat Sabah di lokasi bot tempur berkenaan ditunda oleh KD Paus.

"Lima lagi pegawai serta anggota CB204 akan dibawa pulang dengan KD Paus seperti dijadualkan. Kita membawa kedua-dua anggota itu pulang ke Pangkalan TLDM Kota Kinabalu kerana keadaan kesihatan mereka kurang baik dan memerlukan rawatan segera," katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Difahamkan, helikopter berkenaan terbang ke lokasi KD Paus dari Pangkalan TLDM di Sepanggar jam 2.45 petang tadi dan dijangka mengambil masa kira-kira sejam bergantung kepada keadaan cuaca.


7:49 PM : 2 anggota TLDM tiba di Pangkalan Kota Kinabalu
  
Dua kru bot tempur CB204 yang mengalami masalah kesihatan serta terkena renjatan elektrik, tiba di Pangkalan TLDM jam 6.13 petang tadi.

Bintara Kanan Charles Christopher Muni, 39, dan Bintara Muda Steve Hudson Miso tiba dengan helikopter Super Lynx dari KD Lekiu di perairan pantai barat Sabah.


Sebaik tiba, mereka dibawa ke Hospital Angkatan Tentera Wilayah Kota Kinabalu di Pangkalan TLDM itu untuk rawatan segera.


Anggota Laut Diraja Malaysia, Bintara Kanan, Charles Chirtopher Muni (hadapan kanan) bersama Bintara Muda, Steve Hudson (belakang kiri) kru CB204 dibawa ke hospital selepas menaiki helikopter Super Lynx dari Teluk Sepanggar, Kota Kinabalu ke lokasi Kapal Diraja (KD) Lekiu yang dilaporkan cedera.


8 Oktober 2014

8:50 AM : Bot tempur dijangka tiba di TLDM Kota Kinabalu tengah hari ini


OPERASI menunda bot tempur CB204 oleh KD Ganas ke Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Teluk Sepanggar di Kota Kinabalu.

Bot tempur CB204 yang ditemui petang Isnin lalu setelah dilaporkan hilang lebih 30 jam di Perairan Mengalum, Sabah dijangka tiba di Pangkalan TLDM jam 1 tengah hari ini. Perkara itu dimaklumkan pihak TLDM kepada media pagi ini.

Semalam, Penglima Wilayah Laut 2, Laksamana Muda Datuk Mohammad Rosland Omar berkata operasi penundaan bot itu yang bermula 10 malam pada Isnin kini dilaksanakan KD Ganas yang menggantikan KD Paus dan diiringi KD Lekiu.

Charles dilaporkan mengalami sakit perut (gastrik) manakala Steven terkena renjatan elektrik dan menerima rawatan di Hospital Angkatan Tentera Wilayah Kota Kinabalu.


12.59 PM : 5 kru bot tempur CB204 selamat tiba di TLDM Sepanggar


Selepas lebih 72 jam berdepan ombak kuat dan cuaca buruk di tengah lautan termasuk hilang hampir 28 jam, lima kru daripada tujuh bot tempur CB204 selamat tiba di Pangkalan TLDM tepat jam 12.50 tengah hari tadi.

Mereka tiba bersama bot tempur yang ditunda oleh Kapal Diraja (KD) Ganas sejak jam 4 pagi semalam selepas ditemui keletihan berhampiran Terumbu Layang-Layang di perairan pantai barat Sabah pada jam 6.49 petang kelmarin, kira-kira 90 batu nautika dari sini.




Ketibaan mereka disambut oleh Panglima Wilayah Laut 2, Datuk Mohd Rosland Omar serta ahli keluarga dan sanak-saudara yang menunggu di jeti Pangkalan TLDM di sini. Lima kru itu ialah Leftenan Azri Bakar yang mengetuai CB204, Bintara Muda Ince Ewin, Bintara Muda Nor Azuan Ariffin, Leftenan Komander Sulhajji Daah dan Lans Koperal I Azhry Maani.



BOT tempur CB204 (kiri) merapat di jeti TLDM Teluk Sepanggar, tepat jam 12.50 tengah hari tadi.





9 OKTOBER 2014 

1:29 PM : CB204: Cuaca buruk, laut bergelora antara punca bot tempur hilang
  
Laporan awal siasatan berhubung insiden kehilangan bot tempur CB204 lebih 30 jam di perairan Mengalum, Sabah, menunjukkan ia berpunca daripada keadaan cuaca buruk, lautan bergelora serta masalah teknikal, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata Panglima TLDM, Tan Sri Abdul Aziz Jaafar telah memaklumkan kepada beliau tentang penubuhan sebuah lembaga siasatan berhubung insiden oleh TLDM. lembaga siasatan itu ditubuhkan bagi mengenal pasti secara terperinci punca insiden serta kelemahan yang ada.


sumber: Berita Harian dan Harian Metro

************

alhamdulillah, semuanya sudah selamat. tunggu semua anak kapal berlabuh di darat je sekarang nie. mujur sempat dikesan awal, kalau tak..huhu.

4 comments:

  1. Alhamdulillah.. segalanya selamat..

    ReplyDelete
  2. Masa mula2 dengar risau gak. Sebab semua benda nak hilang...
    Tapi bila dapat tahu bot tu dah dijumpai. Alhamdulillah...

    ReplyDelete
  3. Alhamdulillah...jumpa pun...so struggle to be a crew boat...i ve been a part of cb90 crew...we know dat...

    ReplyDelete
  4. alhamdulliah semua sudah selesai :)

    ReplyDelete

komen yang baik2 je taw!
thanks! arigatou! gracias! danke! gamsahabnida!
(✿◠‿◠)

Copyright © 2008-2020 by Ⓜⓘⓢⓢ Ⓑⓐⓛⓠⓘⓢ™. All Right Reserved ®