Thursday, February 04, 2016

Fenomena El-Nino


PERBANDINGAN cuaca dunia pada tahun 1997 (kanan) berbanding tahun 2015. 

Beberapa agensi cuaca dunia mengumumkan 2015 adalah tahun paling panas dalam sejarah dunia, sejak pemantauan suhu secara sistematik dilaksanakan bermula sekitar 1880-an. Dari kawasan sejuk di Siberia, sehingga tengah lautan di sekitar kawasan tropika, semuanya menunjukkan peningkatan sama. Setakat yang difahami, semua ini adalah akibat fenomena El Nino yang melanda dari pertengahan tahun lalu. 

Tahun lalu El Nino menjadi buah mulut ramai kerana fenomena jerebu yang amat teruk melanda negara. Jumlah hujan yang kurang dan cuaca panas adalah ciri asas kesan El Nino kepada Malaysia menjadikan kesan jerebu lebih teruk pada masa berkenaan. Bagaimanapun, ia hanya permulaan kepada episod El Nino. Fenomena ini hanya mula matang pada November lalu dan sehingga pertengahan tahun ini, negara bakal berdepan cabaran sebenar. 

Perubahan sistem iklim 

El Nino adalah fenomena berulang yang berlaku dalam kitaran dua hingga tujuh tahun sekali akibat peningkatan suhu Lautan Pasifik secara mendadak, sekali gus mengakibatkan perubahan kepada sistem iklim, terutama pada taburan hujan. Walaupun kawasan utama perubahan ini berlaku di Lautan Pasifik, ia bakal mengakibatkan kesan pada skala global. 

Saintis kini sudah mula membandingkan El-Nino 2015/16 ini dengan kejadian pada tahun 1982/83 dan 1997/98 yang merupakan fenomena El Nino paling ekstrem pernah dialami dunia. Pada masa itu, kawasan barat Pasifik, mengalami hujan lebat yang mengakibatkan bencana seperti banjir dan tanah runtuh di kawasan seperti Peru dan Amerika Syarikat. Di bahagian timur pula, Australia dan Asia Tenggara terpaksa berdepan cuaca kering dan panas sehingga mengakibatkan kebakaran hutan dan bekalan air terjejas teruk. 

Di negara kita, kesan cuaca panas dan kering El Nino sudah mula kita rasai sejak tahun lalu dan menurut perangkaan ia akan berkekalan sehingga pertengahan 2016. Jabatan Meteorologi sudah membuat ramalan penyusutan jumlah hujan hingga 60 peratus daripada angka normal bakal dialami. Ini sekali gus menimbulkan kebimbangan banyak pihak. 

Baru-baru ini beberapa rumah di Kuala Terengganu hampir musnah akibat hakisan pantai. Sekiranya tengkujuh tahun ini dialami dalam kadar sama seperti tahun sebelumnya, kesan hakisan ini sudah pasti akan lebih parah. Tahun ini penduduk Pantai Timur bertuah kerana musim tengkujuh lebih tenang berbanding keadaan biasa. 

Ini sekali gus mengurangkan impak hakisan yang saban tahun membawa bahaya besar kepada penduduk. Kesan pembangunan tidak terancang dan perubahan cuaca dunia serta peningkatan paras laut menjadikan hakisan sebagai bencana paling kritikal sebaik muncul musim tengkujuh. Sekurang-kurangnya El-Nino meredakan bahaya itu buat seketika. 

Kesan El Nino tidak tertakluk hanya kepada iklim dan atmosfera, sebaliknya kesannya terhadap lautan juga perlu diberi perhatian. Mengikut laporan saintifik sebelum ini, saintis meramalkan dua musim kemuncak air di Laut China Selatan akan mengalami pemanasan, iaitu pada Februari dan September. Pemanasan di permukaan lautan sering mengakibatkan tiupan angin berkurangan dan permukaan lautan akan lebih panas, awan berkurangan, sekali gus mengurangkan hujan. Ini bakal mengakibatkan cuaca panas berpanjangan lebih lama. 

Dalam keadaan suhu laut lebih panas berbanding normal, kesan paling besar adalah kepada ekosistem lautan di mana jumlah terumbu karang mengalami kelunturan akan meningkat secara mendadak. Kawasan karang ini biasanya menjadi tempat pembiakan ikan dan petunjuk penting terhadap kesihatan ekosistem marin. Pengalaman pada 2010 menunjukkan kelunturan karang yang sangat kritikal di sekitar pulau di Laut China Selatan sehingga sebahagian besar taman laut di Malaysia terpaksa ditutup kepada pelancong. 

Lebih meruncing lagi, arus lautan juga terganggu akibat El Nino. Kebiasaannya pada Ogos dan September, perairan sepanjang pantai timur mengalami proses peningkatan produktiviti lautan yang dikenali sebagai pengaliratasan. Proses ini membawa air lebih sejuk dan bernutrien tinggi kepada permukaan laut dan menjadikan kawasan sepanjang Semenanjung dari Johor hingga Terengganu mengalami peningkatan kadar tangkapan ikan. Bagaimanapun, suhu panas lautan dan kesan angin yang berkurangan bakal memberi kesan besar kepada industri perikanan dan sumber lautan. 

Kekurangan bekalan air 

Cabaran ketara bagi Malaysia adalah kekurangan bekalan air yang akan menyebabkan keperluan domestik terjejas. Bagi industri pertanian, ia adalah antara cabaran terbesar yang memerlukan perancangan lebih mapan. Kesan peningkatan harga beras pernah dirasai pada El Nino 2010 akibat pengeluaran padi yang terjejas di rantau ini. 

Cuaca panas juga bakal menyebabkan penyebaran wabak seperti denggi lebih mudah tersebar. Berdasarkan statistik terkini, Kementerian Kesihatan meramalkan peningkatan wabak berkenaan 50 peratus berbanding normal. 

El Nino bukanlah yang pertama. Kefahaman terhadap kesan El Nino dan pengalaman lalu seharusnya menjadi panduan kepada kita untuk membuat persediaan lebih baik pada masa ini. Bagaimanapun, setiap kali fenomena ini terjadi, ada sahaja perkara baharu yang kita akan pelajari. Dalam keadaan cuaca dunia yang tidak menentu kini, kita perlu bersedia untuk apa juga kemungkinan. 

Penulis ialah ialah Pakar Oseanografi dan Sekitaran Universiti Malaysia Terengganu (UMT)

No comments:

Post a Comment

komen yang baik2 je taw!
thanks! arigatou! gracias! danke! gamsahabnida!
(✿◠‿◠)

Copyright © 2008-2017 by Ⓜⓘⓢⓢ Ⓑⓐⓛⓠⓘⓢ™. All Right Reserved ®