Wednesday, April 19, 2017

Tak Dapat IPTA, Ada Pilihan Lain?


KALAU TAK DAPAT MASUK UNIVERSITI AWAM... PERLU ADA PLAN B..

Plan B – IPTS (Institut Pengajian Tinggi Swasta)


Dalam keghairahan dan keterujaan untuk bersedia menerima keputusan SPM dengan kebiasaannya meletakkan sasaran untuk melanjutkan pengajian ke Universiti Awam (UA), pelajar juga seharusnya juga melihat peluang-peluang yang ada ditawarkan di IPTS. Jangan sesekali memandang rendah kepada IPTS atau menganggap semua IPTS akan menipu duit anda. Kalau nak menipu duit pelajar, tidak sebanyak mana berbanding dengan denda atau kesan yang akan diterima oleh IPTS yang melakukan kesalahan tersebut.

Setiap pelajar harus ada Plan B yang memfokus kepada IPTS selain daripada plan A – memohon kemasukan ke UA dan ILKA melalui UPU. Untuk masa sekarang setiap pelajar harus telah menyenaraikan program pengajian pilihan berdasarkan maklumat yang diperolehi dari laman web UPU. Jika apabila keputusan SPM diumumkan nanti, anda memperolehi keputusan yang mengecewakan dan tidak melayakkan anda untuk memohon ke UA untuk program yang diinginkan, dapatkan satu alternatif – program pengajian di IPTS dalam bidang atau program yang sama untuk dipohon. Secara peribadi, saya berpendapat pelajar harus kekal dengan pilihan bidang pengajian yang diminati dan jangan memohon ke program lain hanya sekadar disebabkan keputusan SPM yang diperolehi hanya layak untuk memohon ke program berkenaan sahaja. 

Mengikuti pengajian dalam bidang yang tidak diminati (walaupun yurannya rendah dan nampak hebat sebab belajar di UA) anda akan menghadapi 3 kesukaran, iaitu: 

  • Kesukaran belajar kerana anda mungkin tidak minat pada bidang tersebut
  • Bila sukar belajar, tentu sukar untuk mendapat keputusan yang baik. 
  • Bila keputusan yang tidak berapa baik, anda akan susah untuk dapat kerja apabila graduasi nanti. 
Senaraikan beberapa buah IPTS yang ada menawarkan program pengajian yang anda inginkan; dan jika sebagaimana disebut di atas anda tidak layak memohon ke UA dalam program yang sama, maka jangan buang masa mengharap kepada suatu yang belum pasti, sebaiknya anda terus mendaftar di IPTS yang ada menawarkan program tersebut.
Ada sesetengah IPTS yang menawarkan suatu yang mungkin jauh lebih baik daripada apa yang ditawarkan di UA. Anda pastinya boleh memilih untuk mengikuti program pengajian yang anda minati. Belajar dalam program yang diminati akan memudahkan pembelajaran anda kelak. Apabila belajar menjadi mudah, maka mudah juga untuk anda mendapat keputusan yang cemerlang, dan boleh menjadi senarai Dekan. Dengan keputusan yang cemerlang, InsyaAllah akan mudah untuk mendapat kerja setelah selesai pembelajaran. 

Tapi awas! Jangan hanya ghairah mahu memasuki institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) tetapi akhirnya berputih mata apabila mengetahui kursus diikuti tidak diiktiraf kerajaan. Ini kerana banyak IPTS tidak jujur sebaliknya beria-ia menarik pelajar baru semata-mata mahu mengaut keuntungan. Sesetengah kurus yang ditawarkan tidak pernah atau belum mendapat akreditasi penuh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Oleh itu, luangkanlah masa menyiasat latar belakang IPTS dan program yang ditawarkan. Fikirkan bahawa memiliki sijil yang tidak diiktiraf membuatkan anda tidak laku di pasaran pekerjaan. Malah, sijil, diploma dan ijazah di tangan nanti tidak boleh digunakan jika berhasrat melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi termasuk ijazah sarjana dan doktor falsafah.

Anda boleh menyemak pengiktirafan kelayakan online, yang diiktiraf oleh Kerajaan bagi maksud pelantikan ke dalam Perkhidmatan Awam. Semakan perlu dibuat bagi memastikan kursus pengajian tersebut diiktiraf oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) kerana kerajaan hanya melantik pemohon yang mempunyai kelayakan yang diiktiraf oleh KPT untuk bekerja atau berkhidmat di sektor awam. Anda boleh klik pada pautan ini -> [link]

Selain itu, ada IPTS yang menawarkan program pengajian dengan mendapat pembiayaan (pinjaman) MARA selain daripada pinjaman PTPTN. Untuk makluman, tidak semua IPTS dan tidak semua program mendapat pinjaman MARA dan yang pasti MARA tidak memberikan pinjaman untuk belajar di UA. Satu kelebihan pinjaman MARA adalah pelajar yang mendapat keputusan cemerlang (diploma atau ijazah sarjana muda) akan mendapat peluang untuk memohon pengurangan bayaran balik pinjaman. Dan bagi pelajar yang bergraduat dengan cemerlang (diploma atau ijazah sarjana muda) akan layak memohon pengecualian bayaran balik sepenuhnya pinjaman dan layak memohon untuk mendapat pinjaman baru bagi melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Senarai Institut Pendidikan Mara (IPMa) adalah seperti berikut:


1. UniKL

Matlamat MARA memberikan pembiayaan kepada pelajar-pelajar adalah untuk membantu pelajar bumiputera yang berpotensi dan berkelayakan terutama yang memerlukan bantuan kewangan untuk mengikuti pengajian di Institusi Pengajian Tinggi dalam bidang-bidang Sains, Teknologi, Profesional, Kepakaran dan Pengurusan Perniagaan serta bidang-bidang lain yang dikenalpasti oleh MARA dari masa ke semasa. Rujuk -> [link]

Cuma satu peringatan mudah, jika keputusan SPM anda nanti tidak melayakkan untuk memohon program di UA, jangan buang masa, terus sahaja ke IPTS yang ada menawarkan program yang sama. Saya bukan berkempen untuk mana-mana IPTS tetapi berkempen agar pelajar tidak membuang masa menunggu peluang yang mungkin tidak akan sampai pun. Selamat berjaya


No comments:

Post a Comment

komen yang baik2 je taw!
thanks! arigatou! gracias! danke! gamsahabnida!
(✿◠‿◠)

Copyright © 2008-2017 by Ⓜⓘⓢⓢ Ⓑⓐⓛⓠⓘⓢ™. All Right Reserved ®