Saturday, December 24, 2016

Sijil Matrikulasi KPM Sudah Diiktiraf



Berita baik kepada pelajar-pelajar matrikulasi. Sijil Matrikulasi KPM sudah diiktiraf dan boleh digunakan untuk memohon pekerjaan dalam perkhidmatan awam iaitu kerja kerajaan seperti pelajar-pelajar lepasan STPM. Pengiktirafan ini akan berkuatkuasa mulai 1 Januari 2017. Ini bermakna lepasan matrikulasi siri 2016/2017 dapat sijil matrikulasi yang sah. 


Untunglah! Masa zaman saya sekitar siri 2005/2006 dapat sijil kertas biasa je pon~


Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3 Tahun 2016

Kelayakan Sijil Matrikulasi Kementerian Pendidikan Malaysia bagi tujuan Pelantikan ke dalam Perkhidmatan Awam

Kerajaan telah bersetuju supaya pelajar lulusan Program Matrikulasi KPM yang dianugerahkan Sijil Matrikulasi KPM diberi peluang untuk memohon berkhidmat dalam Perkhidmatan Awam. Sehubungan itu, peringkat kemasukan bagi pemegang kelayakan Sijil Matrikulasi KPM ke dalam Perkhidmatan Awam ditetapkan pada Gred 29 dalam skim perkhidmatan berkaitan.

Calon yang memiliki Sijil Matrikulasi KPM adalah layak dipertimbangkan pelantikan ke jawatan dalam Kumpulan Pelaksana di Gred 29 yang bersesuaian. Gaji Permulaan bagi kelayakan Sijil Matrikulasi KPM ditetapkan bersamaan dengan gaji minimum dalam Jadual Gaji Minimum-Maksimum skim perkhidmatan berkaitan. Senarai skim perkhidmatan dan penetapan gaji permulaan adalah seperti di Lampiran A

Senarai 39 skim perkhidmatan di Gred 29 dan penetapan gaji permulaan melibatkan perkhidmatan:

1. Bakat dan Seni (Gred B29) - Gaji Permulaan: RM 1,499.00
  • Artis Budaya
  • Jurufotografi
  • Penerbit Rancangan
  • Ahli Muzik
  • Pegawai Kebudayaan
  • Pereka

2. Sains (Gred C29) - Gaji Permulaan: RM 1,505.00
  • Penolong Pegawai Geosains
  • Penolong Pegawai Meteorologi
  • Penolong Pegawai Sains
  • Penolong Pegawai Makmal Filem

3. Ekonomi (Gred E29) - Gaji Permulaan: RM 1,493.00
  • Penolong Pegawai Ehwal Ekonomi
  • Penolong Pegawai Perangkaan

4. Pertanian (Gred G29) - Gaji Permulaan: RM 1,494.00
  • Penolong Pengurus Taman / Ladang

5. Keselamatan dan Pertahanan Awam (Gred K29) - Gaji Permulaan: RM 1,493.00
  • Penolong Pegawai Keselamatan
  • Penolong Pegawai Pertahanan Awam
  • Penolong Penguasa Penjara
  • Penolong Pegawai Penguat Kuasa
  • Penolong Penguasa Imigresen
  • Penolong Pegawai Pendaftaran

6. Perundangan dan Kehakiman (Gred L29) - Gaji Permulaan: RM 1,513.00
  • Jurubahasa

7. Pentadbiran dan Sokongan (Gred N29) - Gaji Permulaan: RM 1,493.00
  • Penolong Pegawai Tadbir 
  • Penolong Pegawai Penerbitan
  • Penolong Pegawai Penyelidik Sosial
  • Penolong Pengurus Asrama
  • Penghulu
  • Penolong Pentadbir Tanah

8. Penyelidikan dan Pembangunan (Gred Q29) - Gaji Permulaan: RM 1,496.00
  • Penolong Pegawai Penyelidik

9. Sosial (Gred S29) - Gaji Permulaan: RM 1,493.00
  • Penolong Pegawai Arkib
  • Penolong Kurator
  • Penolong Pustakawan
  • Penolong Pegawai Pembangunan Masyarakat
  • Penolong Pegawai Belia dan Sukan
  • Penolong Pegawai Perhubungan Perusahaan
  • Penolong Pegawai Penerangan
  • Penolong Perancang Bahasa
  • Penolong Pegawai Kesatria
  • Penolong Pegawai Antidadah
  • Wartawan

10. Kewangan (Gred W29) - Gaji Permulaan: RM 1,498.00
  • Penolong Penguasa Kastam





Anda boleh juga muat turun / download surat pekeliling kelayakan sijil matrikulasi dengan menekan link di bawah:



Ini bermakna kepada pelajar-pelajar bakal lepasan matrikulasi tahun hadapan yang ingin merasai dunia pekerjaan sebelum melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah sarjana muda, anda boleh dan layak memohon kerja seperti yang disenaraikan. Jika masih tiada panggilan UPU dari mana-mana Institut Pengajian Tinggi (IPT) untuk menyambung pelajaran anda, boleh juga anda memohon di antara 39 jenis pekerjaan yang telah disenaraikan di atas. Serba sedikit dapat juga pengalaman bekerja.

Bagi bekas pelajar matrikulasi yang ingin mendapatkan sijil matrikulasi KPM, anda juga boleh mendapatkannya dengan merujuk kepada link di bawah. Isi borang yang telah anda download kemudian hantar semula ke KPM melalui pos ke Bahagian Matrikulasi atau email ke sijil.matrikulasi@moe.gov.my
Semoga Berjaya!


lovenota: untunglah budak matrikulasi sekarang nie kan~


Read More »

Tuesday, December 20, 2016

PT3 2016: Keputusan Sains Teruk


Keputusan PT3 2016 sudah diumumkan secara rasminya semalam. Yang menjadi trending adalah subjek Sains. Rata-rata pelajar yang miss cemerlang adalah disebabkan subjek Sains. Ada pelajar yang mendapat keputusan 9A1C, yang mana gred C itulah matapelajaran Sains. Sehinggakan ada beberapa ibubapa yang ingin membuat penyemakan semula kertas peperiksaan tersebut walhal kertas itu sudah pun disemak oleh Ketua Pentaksir Kawasan (KPKw). 





Sumber: Oh! Bulan

Bila keadaan sudah menjadi begini, ramai pula pelajar kita yang takut nak ambil aliran Sains Tulen di tingkatan 4 kerana takut tak boleh "bawa". Saya mengalaminya sendiri pada tahun ini walhal pelajar itu mendapat A atau B dalam peperiksaan PT3 pada tahun lepas. Katanya takut gagal. Tapi saya tidak boleh memaksa, itu kehendak masing-masing. 

Kemudian, mengenai pemilihan blok soalan. Seperti yang sedia maklum, soalan peperiksaan PT3 dipilih melalui 3 blok. Bermakna setiap sekolah mempunyai soalan yang berbeza-beza berdasarkan pada pemilihan tersebut. Yang menjadi isunya ialah nombor soalan yang sama pada setiap blok tetapi mempunyai aras kesukaran yang berbeza-beza. Ini menimbulkan ketidakpuasan kepada guru-guru apabila mengetahui isu tersebut. 

"Bolehlah dapat keputusan sains ok. sekolah kau dapat soalan banyak dari blok 1. Soalan blok 1 senang kot. Aku dapat soalan banyak dari blok 3. Semuanya susah!"

Saya lebih suka pada peperiksaan berpusat seperti sebelum ini dan seperti peperiksaan SPM daripada soalan pemilihan blok-blok ini supaya peperiksaan dapat dijalankan dengan adil dan saksama bagi semua orang. Kekalkan konsep PT3 tetapi peperiksaan mestilah setara. Selepas itu, kita tidak lagi akan mendengar ketidakpuasan guru-guru dan ibubapa pelajar. 

Penerangan di bawah ini saya dapat dan dah minta izin pada sahabat saya sendiri, Cikgu Nik Thaqif untuk copy dan sebarkan supaya semua masyarakat dan pelajar-pelajar PT3 memahami kenapa keputusan PT3 Sains teruk pada tahun ini. 

Sedikit tentang Sains PT3 sebagai subjek pembunuh! ('Killer subject').  
1. Pertama sekali, jangan sesekali bandingkan PT3 dengan PMR. Dapat A untuk Sains ketika PMR belum tentu A untuk format PT3. Antara bezanya selain penerapan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT/HOTS) ialah markah 100% terdapat dalam soalan (14 soalan bersamaan 100 markah). Setiap kesalahan akan mengurangkan markah sebagai mana format badminton 21 mata, setiap kesalahan menyumbang mata kepada pihak lawan.  
2. Merujuk kepada soalan PT3 Sains 2016; soalan 1 hingga soalan 10 merupakan keseluruhannya adalah soalan kemahiran berfikir aras rendah (KBAR/LOTS) yang melayakkan mana-mana calon untuk lulus dengan baik sekiranya mampu menjawab soalan pada bahagian ini. 10 soalan pertama ini hanya berada pada tiga aras bawah di dalam Taksonomi Bloom (semakan Anderson). Cuma ada 3 atau 4 soalan kecil yang diselitkan sedikit elemen berfikir untuk menyelesaikan masalah. 
3. Soalan 11 hingga soalan 14 pula merupakan soalan kemahiran beraras tinggi (KBAT) yang memerlukan calon bukan sahaja menghafal bahkan kena faham konsep dan aplikasikannya pada situasi yang lain serta menilai aplikasi tersebut. Semestinya soalan ini agak susah bagi calon (bahkan bagi guru / pentaksir juga!) kerana soalan sebegini tidak pernah dibincang secara terus di dalam kelas. Hanya saja pernah dibincangkan secara teori dan mungkin faham mengenai konsepnya sahaja. Cuma calon perlu naik satu atau dua aras lagi iaitu aras menilai dan mencipta. Di sinilah calon-calon kehilangan banyak markah, ditambah pula dengan kecuaian, kegopohan dan lupa asas sains pada kedua-dua bahagian soalan. Itu belum dikira calon yang sudah awal-awal lagi mengangkat 'bendera putih'. 
4. Cuma harapan saya agar soalan berbentuk KBAT ini dilonggarkan sedikit skema pemarkahannya kerana sistem pendidikan bermazhabkan konstruktivisme ini meraikan idea awal (miskonsepsi, pengetahuan alternatif, pengalaman dll) murid untuk dibincangkan. Maka tentu saja calon mempunyai 1001 idea yang mana belum tentu salahnya. Menggunakan alasan "menurut kehendak Ketua Pemeriksa" akan merugikan idea murid tersebut. Inilah point terpenting untuk saya sampaikan. 
5. Maka, lagi sekali pihak sekolah juga tidak boleh membandingkan pencapaian PT3 dengan PMR untuk menilai asas sains yang dimiliki murid (mungkin untuk kemasukan ke aliran Sains). Berani saya katakan, jika calon PT3 Sains menjawab soalan berformat PMR pastinya keputusannya lebih baik 
6. Justeru, begitulah tujuan pentaksiran sememangnya untuk mendiskriminasikan murid yang mana murid sederhana dan yang mana murid baik dan cemerlang. Dengan pelbagai sumber ilmu pengetahuan yang dapat membantu PdP di sekolah, maka bilangan murid cemerlang semakin ramai. Dalam sekian ramai yang cemerlang itu, manakah yang cemerlang, cemerlang tertinggi atau mungkin ada cemerlang 'tahap dewa'. Itulah antara tujuan KBAT diperkenalkan, untuk mengenal pasti murid yang betul-betul cemerlang bukan sahaja hafalan semata-mata bahkan memahami konsep untuk diaplikasi dan menilai idea. Sama juga, SPM dahulu ada A1 dan A2, sekarang ada tiga peringkat A (A+, A dan A-). 
7. KBAT bukanlah bermaksud soalan susah, bukan juga bermaksud soalan perangkap tetapi kriterianya mengikut tahap taksonomi dengan adunan elemen pentaksiran yang boleh difahami murid. 
Sekian, terima kasih. (Sekadar pandangan seorang pentaksir sains PT3 yang masih baharu dalam dunia ini)

Seterusnya, berbekalkan dengan keputusan PT3, anda kena fikirkan pakej @ aliran apa yang anda akan pilih untuk masuk ke tingkatan 4 tahun hadapan. Aliran sains? Aliran akaun? Aliran sastera? Runsing? 

Rujuk link ini: Aliran Sastera VS aliran Sains


lovenota: redha jelahh.


Read More »

Monday, December 19, 2016

Aliran Sastera VS Aliran Sains


SELEPAS PEPERIKSAAN PT3, PILIHAN ANTARA ALIRAN SASTERA VS ALIRAN SAINS, MANA LEBIH BAIK?



Selepas keputusan peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3), ramai pelajar akan mengalami masalah untuk memilih aliran yang akan diambil semasa menyambung pelajaran ke tingkatan 4 kelak. Pemilihan kelas aliran Sastera mahupun aliran Sains sebenarnya akan menentukan hala tuju dan masa depan pelajar untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi seterusnya menceburi alam pekerjaan. Mungkin ramai yang tertanya-tanya apa beza kedua-dua aliran ini dan mana yang lebih penting.

Aliran Sastera atau Sains, kedua-duanya perlu seiring dengan minat dan kemampuan pelajar untuk mendalami ilmu yang dipilih. Keputusan PT3 digunakan sebagai kelayakan untuk memasuki aliran sastera mahupun sains ketika di tingkatan empat dan lima.

Tolak tepi tanggapan kebanyakan orang ramai yang menganggap aliran Sastera adalah terdiri dari pelajar yang kurang cemerlang atau pelajar lemah manakala aliran Sains adalah untuk pelajar cemerlang saja. Sebenarnya kedua-dua aliran ini mempunyai keistimewaan dan kepentingan tersendiri.

Hakikatnya, kaedah pelajar cemerlang di dalam subjek Matematik dan Sains sebagai syarat masuk aliran Sains sudah tidak relevan untuk masa sekarang. Ada juga pelajar yang bijak Matematik dan Sains memilih aliran Sastera kerana minat untuk mendalami dunia kesusasteraan.

Istimewanya aliran sains, peluang untuk ke peringkat matrikulasi dan asasi sains seterusnya ke universiti amat cerah. Ini kerana lebih 80% kursus pengajian lepasan SPM dalam UPU adalah dalam untuk aliran sains. Antara mata pelajaran yang akan dipelajari dalam aliran sains ialah Kimia, Fizik, Biologi dan Matematik Tambahan.

Syarat Baru Kemasukan Aliran Sains Tingkatan 4 Mulai tahun 2015 berdasarkan surat siaran Kementerian Pendidikan Malaysia Bilangan 22 Tahun 2014:
  • Murid mendapat sekurang-kurangnya gred B dalam Sains dan Matematik dalam keputusan PT3
  • Murid yang mendapat gabungan gred A/C, B/C atau C/C dalam Sains dan Matematik, mendapat sekurang-kurangnya Band 4 dalam kedua-dua mata pelajaran tersebut serta berminat untuk belajar dalam aliran Sains berdasarkan Pentaksiran Psikometrik
  • Kes Khas : Murid yang mendapat gabungan gred A/D, B/D atau C/D dalam Sains dan Matematik, mendapat sekurang-kurangnya Band 4 dalam kedua-dua mata pelajaran tersebut serta berminat untuk belajar dalam aliran Sains berdasarkan Pentaksiran Psikometrik.
  • Murid yang dapat gred E dalam mana-mana matapelaran tidak layak masuk aliran Sains

Bagi aliran sastera pula, tidak dinafikan ramai yang memandang rendah kepada aliran ini semasa di peringkat persekolahan. Ayat seperti, "Aku bukan budak bijak, sebab tu aku masuk aliran Sastera," sering dijadikan alasan. Namun begitu ramai yang tidak sedar pelajar aliran Sastera lebih laku dan mempunyai nilai pasaran semasa di alam pekerjaan. Mata pelajaran seperti Prinsip Perakaunan, Ekonomi Asas dan Perdagangan adalah antara mata pelajaran yang mempunyai nilai pasaran tersebut.


Mata Pelajaran Wajib (subjek teras)
  • Bahasa Melayu
  • Bahasa Inggeris / GCE O Level English
  • Pendidikan Islam / Pendidikan Moral
  • Sejarah
  • Mathematics / Matematik
  • Science / Sains – Untuk Aliran Sastera, Perdagangan dan Kesenian sahaja.

6 jenis aliran yang mungkin terdapat di sekolah anda (bergantung kepada pakej yang ditawarkan di sekolah masing-masing):

1. Aliran Sains Tulen
  • Additional Mathematics / Matematik Tambahan
  • Physics / Fizik
  • Chemistry / Kimia
  • Biology / Biologi
  • English for Science and Technology

2. Aliran Sains Tulen Agama
  • Additional Mathematics / Matematik Tambahan
  • Physics / Fizik
  • Chemistry / Kimia
  • Biology / Biologi
  • English for Science and Technology
  • Pendidikan Al-Quran dan As-Sunnah
  • Pendidikan Syariah Islamiah
  • Tasawwur Islam (Gambaran Islam)
  • Bahasa Arab Tinggi

3. Aliran Sains Kemanusiaan
  • Additional Mathematics / Matematik tambahan
  • Physics / Fizik
  • Chemistry / Kimia
  • Biology / Biologi
  • English for Science and Technology
  • Prinsip Perakaunan
  • Ekonomi Asas
  • Perdagangan
  • Geografi

4. Aliran Iktisas
  • Additional Mathematics / Matematik Tambahan
  • Science / Sains
  • Pendidikan Al-Quran dan As-Sunnah
  • Pendidikan Syariah Islamiah
  • Tasawwur Islam (Gambaran Islam)
  • Prinsip Perakaunan
  • Ekonomi Asas
  • Perdagangan
  • Bahasa Arab Tinggi

5. Aliran Perdagangan
  • Additional Mathematics / Matematik Tambahan
  • Additional Science / Sains Tambahan
  • Prinsip Perakaunan
  • Ekonomi Asas
  • Perdagangan

6. Aliran Kesusasteraan dan Kesenian
  • Additional Science / Sains Tambahan
  • Geografi
  • Kesusasteraan Melayu
  • Literature in English
  • Kesusasteraan Cina
  • Kesusasteraan Tamil
  • Pendidikan Seni Visual
  • Ekonomi Rumah Tangga
  • Pendidikan Muzik

7. Mata Pelajaran Tambahan (Elektif)
  • Bahasa Cina
  • Bahasa Tamil
  • Bahasa Arab Komunikasi
  • Bahasa Punjabi
  • Bahasa Perancis
  • Bahasa Iban
  • Pengetahuan Sains Sukan
  • Sains Pertanian
  • Mata pelajaran Teknikal
  • Reka Cipta
  • Teknologi Maklumat

Untuk itu, memang benar, keputusan yang cemerlang seharusnya kita mengambil aliran sains tulen. tetapi bagi saya, anda perlu membuat keputusan dengan sebaik mungkin dengan keluarga ataupun kaunselor untuk mengetahui kemampuan dan keperluan negara ketika ini dan akan datang. Perlu ada keseimbangan dan juga timbang-tara.


Berikut adalah panduan yang boleh kita ambil kira. 

1. Lihat keputusan peperiksaan. 
Kecemerlangan dalam subjek-subjek tertentu menjadi penanda minat dan kelebihan anda pada subjek-subjek tersebut, berbanding dengan yang lain. Tengok jikalau matematik dapat A, kebarangkalian untuk bijak dalam aliran perdagangan. Jika sains anda dapat A, boleh ambil aliran sains tulen. Jika meminati hasil seni, boleh mengambil aliran sastera.

2. Perhatikan minat dan kecenderungan. 

Setiap individu adalah unik dan istimewa, masing-masing mempunyai kekuatan tersendiri, ini tergambar dari lahiriah mereka. Aliran yang tepat dapat membantu menggilap bakat dan kelebihan anda.

3. Berbincang hati ke hati dengan keluarga. 

“Abang/kakak nak jadi apa bila besar nanti?” Biarkan mereka bercerita tentang impian dan cita-cita mereka, kita boleh membimbing dengan pertanyaan-pertanyaan yang objektif.

4. Berjumpa dengan Kaunselor sekolah. 

Guru kaunselor adalah sumber yang baik untuk mendapatkan pendapat.

5. Berjumpa dengan ahli profesional. 
Jika anak-anak @ anda sudah mempunyai cita-cita, yang spesifik contohnya, doktor. Aturkan masa yang bersesuaian untuk berjumpa dengan seorang doktor yang boleh memberi gambaran tentang profesionnya, agar anak-anak mendapat gambaran yang jelas, adakah ini jenis pekerjaan yang diminatinya.

6. Beristikharah. 

“Tidak rugi orang yang bermesyuarat, tidak menyesal orang yang beristikharah.”


Pilihlah aliran yang bersesuaian dan tepat kerana ini adalah langkah awal ke masa depan yang cemerlang.

Sejujurnya, tidak kisah aliran apa sekali pun, anda berhak memilih aliran mana yang digemari. Jangan kerana desakan keluarga atau mahu glamour, anda memilih tanpa menyedari kemampuan diri sendiri. Sama ada aliran Sains atau Sastera, kedua-duanya bergantung pada usaha sendiri untuk terus berjaya. Tidak kira anda 'berasal' dari aliran Sastera atau Sains, tidak bermakna anda tidak boleh berjaya dan tidak mempunyai pekerjaan yang baik.

Semuanya bergantung pada usaha dan kerajinan sendiri. Sebagai contoh, jika anda mahu menjadi jurutera, saintis atau doktor, tentunya anda akan berusaha di aliran Sains. Jika pilihan anda untuk bergelar peguam, akauntan atau pereka grafik, tentunya anda akan menghargai aliran Sastera. Kedua-duanya sama penting. Namun, tidak semestinya pelajar dari aliran Sains tidak boleh menjadi anggota polis, bukan?

Aliran Sastera atau Sains, kedua-duanya sama penting di mana bidang yang anda pilih akan memperkenalkan siapa diri anda di dalam status pekerjaan kelak!

Semoga bermanfaat!

Read More »
Copyright © 2008-2020 by Ⓜⓘⓢⓢ Ⓑⓐⓛⓠⓘⓢ™. All Right Reserved ®