Tuesday, December 15, 2015

Keputusan PT3 2015 Bertambah Baik



KUALA LUMPUR - Sebanyak 465,674 calon Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) mendapat keputusan hari ini di seluruh negara. Kebanyakan sekolah merekodkan Gred Purata Sekolah (GPS) lebih baik berbanding keputusan tahun pertama pelaksanaannya pada 2014.  
Di Besut, seramai 46 daripada 62 calon PT3 Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Besut berjaya memperoleh 11A dan sekali gus menobatkan sekolah itu antara sekolah terbaik di negeri Terengganu pada tahun ini. Pengetuanya, Abd Wahab Mohd Arshad berkata amalan menghafaz al-Quran dalam kalangan pelajar sekolah itu telah berjaya membentuk akhlak pelajar hingga cemerlang dalam PT3. 
"Inilah yang sedang dibentuk oleh Imtiaz kerana 20 calon PT3 berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran. Dengan menghafaz al-Quran boleh memberi kelebihan kepada pelajar tentang kesedaran kendiri hingga membawa kepada kejayaan," katanya. 
Pelajar terbaik Imtiaz Besut, Muhamad Syakir Solihin Mohd Salim berkata resepi kejayaannya memperoleh 11A, banyak dibantu oleh amalannya menghafaz al-Quran 30 juzuk di samping menjaga pemakanan dan bijak menguruskan jadual. 
"Saya menetapkan jadual untuk sesi belajar di samping bantuan guru. Selain itu pemakanan memang saya jaga. Saya percaya makan kismis mampu menguatkan daya ingatan saya," kata anak kepada pasangan guru itu kepada Bernama selepas majlis penyerahan sijil di sekolahnya. 
Bagi Fahda Syazween Fazul Anuar dari Sungai Petani, Kedah yang turut mendapat 11A, mengakui amalan menghafaz al-Quran banyak membantunya memperkuat ingatan dalam pembelajaran sekolah.

"Setiap hari rutin hidup saya mesti dimulakan dengan memakan kismis dan minum susu sebelum membaca al-Quran. Selepas itu barulah saya teruskan dengan mentelaah mata pelajaran sekolah secara berkumpulan," katanya.  
Di KUALA TERENGGANU, kejayaan sama turut diraih Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Datuk Haji Abbas selepas 33 calon PT3 memperoleh 11A. Pengetuanya Awi Salleh berkata pencapaian terbaik itu merupakan peningkatan lebih 200 peratus berbanding keputusan PT3 pada tahun lepas iaitu  hanya 12 pelajar mendapat 11A. 
"Daripada 271 calon PT3 di sekolah ini, 33 calon mendapat 11A, 29 pelajar memperoleh 10A dan 79 pelajar mendapat 9A," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan sijil kepada para pelajar di sekolah itu. 
Bagi Mohd Ehsan Ahmad Rosli yang mendapat 11A, kejayaan yang dilakarnya itu adalah berkat sentiasa fokus kepada pembelajaran bagi semua mata pelajaran yang diajar di dalam kelas selain dorongan kedua ibu bapanya. 
"Saya sangat gembira, bersyukur kepada Allah dan bagi saya yang paling penting untuk mendapatkan kejayaan ini, reda daripada kedua ibu bapa dan guru-guru. Moga kejayaan yang kami dapat ini adalah kejayaan yang diredai Allah," katanya. 
Sementara itu Muhd Akif Naqiuddin Zahar yang turut berkongsi kegembiraan mendapat 11A berkata beliau bersyukur kerana mendapat keputusan cemerlang kerana baginya PT3 adalah sukar dan amat mencabar. 
"Saya rasa gembira kerana semua orang tahu ujian ini tidak mudah. Namun saya bangga dengan pencapaian yang saya peroleh dan berbangga juga dengan teman-teman lain. Ini boleh saya jadikan dorongan untuk mendapat keputusan terbaik dalam SPM pula," katanya. 
Di KOTA BAHARU, mengamalkan solat sunat tahajjud setiap malam dan tadarus al-Quran di sekolah antara rahsia pasangan kembar perempuan daripada Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Naim Lil-Banat yang melakar kejayaan cemerlang dalam PT3. 
Nurin Atirah Amani Khusaini Che Khalid Khusaimi mendapat keputusan 11A manakala pasangan kembarnya Nurin Afiqah Amani Khusaini, mendapat 10A 1B.    
Nurin Atirah Amani Khusaini ketika ditemui berkata mereka sanggup berkorban masa untuk bangun seawal 4.30 pagi bagi menunaikan solat sunat itu sehingga Subuh menjelang dan akan bersiap-siap untuk ke sekolah pula selepas itu. 
"Kami menitikberatkan solat sunat tahajjud pada setiap malam sejak Jun lepas serta turut menyertai sesi tadarus al-Quran anjuran sekolah setiap pagi sebelum sesi pembelajaran dimulakan, ulang kaji pelajaran dan tuisyen pada hujung minggu," katanya ketika ditemui di sekolah hari ini. 
Pengetua sekolah, Maimunah Ismail berkata 198 calon menduduki PT3 pada tahun ini dan daripada jumlah itu 98 pelajar mendapat 11A berbanding 14 pelajar pada tahun lepas, membuktikan keberkesanan program intervensi anjuran sekolah itu. 
Di KANGAR, pelajar cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan Derma, Nur Aina Nor Asmadi yang berjaya memperoleh 10A dalam PT3 membuktikan seseorang pelajar itu masih boleh meraih kejayaan walaupun tidak mengikuti kelas tuisyen. Anak bongsu daripada tiga beradik itu berkata usaha gigih berterusan dan tumpuan dalam kelas menjadi resepi kejayaannya. 
"Saya berusaha lebih dan tidak mengharapkan sepenuhnya apa yang cikgu ajar. Saya banyak ikut cara konvensional seperti menelaah buku, menganalisis soalan lepas dan baca surat khabar," kata anak anggota polis itu kepada pemberita di SMK Derma, hari ini. 
Sementara itu Pengetua SMK Derma, Aslina Yob berkata sekolahnya mencatatkan peningkatan GPS 1.50 berbanding tahun lepas 1.80 iaitu daripada 156 calon PT3, 15 daripada mereka memperoleh A dalam mata pelajaran yang diduduki manakala 19 orang mendapat 9A. 
Jabatan Pendidikan Negeri berkata Perlis mencatatkan GPS 3.29 meningkat 0.47 berbanding tahun lepas 3.76 daripada keseluruhan 4,031 calon PT3. 
Di JOHOR BAHARU, 12 pelajar Maktab Sultan Abu Bakar (MSAB) mencatat keputusan cemerlang dalam PT3 apabila memperoleh A bagi semua subjek. Pengetua MSAB Samsudin Mohd Ariff berkata sekolah itu mempunyai 165 calon PT3 dan berdasarkan keputusan itu, GPS menunjukkan peningkatan 1.82 mata pada tahun ini berbanding 2.26 mata pada tahun lepas.  
Bagi pelajar cemerlang, Muhamad Naquib Helmy, yang memperoleh 10A, menyifatkan usaha gigihnya mengulang kaji pelajaran amat berbaloi. 
"Saya mengikuti kelas tuisyen dan memperbaiki subjek lemah seperti Sains dan Matematik dengan belajar bersama beberapa rakan di perpustakaan  sekolah," katanya yang bercita-cita menjadi doktor. 
S Pavinishh, yang mendapat 9A bagi semua subjek yang didudukinya berkata beliau meluangkan masa selama enam jam setiap hari terutamanya membuat latihan dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sains. 
"Kalau setiap hari kita belajar benda yang sama, maka, ia tidak akan menjadi susah. Contohnya, ramai yang fikir Matematik itu susah kerana perlu mengingati banyak formula tetapi kalau kita ingat semua formula itu, Matematik akan jadi senang," kata anak sulung daripada dua beradik itu kepada  pemberita di sekolahnya hari ini. 
Di IPOH, amalan sujud syukur setiap hari selama sebulan sebelum peperiksaan PT3 antara rahsia kejayaan Nur Afifah Husna Hamzah memperoleh keputusan cemerlang 11A. Anak pasangan pendidik itu merupakan pelajar tunggal Sekolah Raja Perempuan Taayah di sini yang mendapat A bagi semua mata pelajaran yang  diambil.   
"Saya sentiasa fokus dalam kelas, waktu rehat saya akan belajar dengan kawan-kawan, waktu malam pula saya akan berjaga untuk membaca selain mengamalkan sujud syukur," kata anak sulung daripada enam beradik itu kepada pemberita di sekolahnya hari ini. 
Sementara itu, Pengetua sekolah Nooraini Zainal Abdin berkata sekolah itu mencatatkan lebih 50 peratus peningkatan berbanding tahun lepas yang mempunyai 135 calon iaitu dua pelajar dapat 10A, 10 pelajar 9A, 14 pelajar 8A dan 30 pelajar 7A. 
"Majoriti yang mendapat 5A, 6A, 7A ke atas lebih daripada 80 orang, ini merupakan lebih 70 peratus. Kalau lebih daripada 70 peratus, ini bermakna pelajar telah menunjukkan kemampuan mereka menguasai ilmu-ilmu dalam PT3," katanya. 
Di SHAH ALAM, minat untuk menceburi bidang perubatan seperti ibu dan bapanya menjadi pendorong buat pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 9, Nadiah Imran melakar keputusan cemerlang 9A dalam PT3 yang diumum hari ini. Pengetua sekolah, Abdul Hakim Samuri berkata GPS pada tahun ini bertambah baik iaitu merekodkan 2.59 berbanding 2.81 pada 2014 iaitu ketika peperiksaan itu pertama kali diperkenalkan. Tambahnya lagi, lima calon mendapat keputusan semua A berbanding 2 calon pada tahun lepas. 
Sementara itu, lima pelajar Sekolah Menengah Convent Klang mendapat keputusan semua A meningkat, berbanding dua pelajar pada tahun sebelum ini. Pengetuanya, Rohimah Muhammad berkata peratusan lulus subjek juga mencatatkan peningkatan. 
Di MELAKA, pelajar cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ayer Molek, Raudhatul Syahirah Ruzalee yang memperoleh 9A berkata pengorbanan mengikuti kelas tambahan setiap Sabtu di sekolah antara faktor kejayaannya. 
"Saya berasa amat gembira kerana segala usaha yang telah dilakukan membantu saya mendapat keputusan yang baik. Percubaan lepas saya hanya mendapar 2A sahaja dan saya berharap dapat menyambung pelajaran di Maktab Rendah Sains Mara," katanya yang bercita-cita menjadi seorang doktor. 
Bagi Hamizah Yusni, walaupun PT3 agak sukar namun ia bukan penghalang untuknya melakukan yang terbaik untuk memperoleh 9A dalam PT3.  
"Alhamdulillah berbaloi usaha selama ini, ulang kaji berterusan dan bimbingan guru serta kelas tambahan yang diadakan di sekolah membantu saya memperbaiki keputusan percubaan PT3 sebelum ini," kata anak bongsu yang memilih kerjaya sebagai ahli fisioterapi. 
Exco Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi Melaka Datuk Md Yunos Husin mengarahkan semua sekolah menengah di negeri itu menghantar maklumat atau keputusan pencapaian PT3 kepada Jabatan Pendidikan Negeri bagi memudahkan pemantauan dan penyelarasan sistem pendidikan negeri. Md Yunos berkata mekanisme itu juga penting bagi perancangan pelbagai inisiatif untuk terus meningkatkan pencapaian sekolah dan negeri pada masa hadapan. 
"Walaupun PT3 ini merupakan pentaksiran di peringkat sekolah namun pihak sekolah perlu memaklumkan prestasi atau pencapaian pelajar kepada pihak Jabatan Pendidikan Negeri, kami ingin melihat senario pencapaian PT3 di negeri ini secara keseluruhan," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Keputusan PT3 kepada pelajar SMK Ayer Molek. 
Seramai 317 pelajar sekolah tersebut menduduki PT3 pada tahun ini dan 37 daripadanya memperoleh keputusan 5A ke atas bagi mata pelajaran yang diduduki mereka. Turut hadir Pengarah Pendidikan Melaka Abu Bakar Sahari dan Pengetua SMK Ayek Molek Noor Laila Hamzah. - Bernama

Sumber: Sinar Harian

**********************

Pada tahun ini memang nampak perubahan keputusan PT3 tahun 2015 ini berbanding dengan tahun lepas 2014. Guru-guru sangat bertungkus lumus memberikan yang terbaik untuk peperiksaan PT3 kali ini. Tak nak jadi macam tahun lepas dah. GPS sekolah saya juga bertambah baik. Seramai 5 orang pelajar mendapat keputusan cemerlang, 10A dan 11A berbanding dengan tahun lepas, hanya seorang sahaja yang dapat 11A. Pengetua pun happy sebab ada perubahan yang positif untuk peperiksaan PT3 ini. Mata pelajaran yang paling ramai gagal dan mendapat gred F ialah Matematik diikuti dengan Sains. As usual..huhu.

Tapi PBS atau Pentaksiran Sekolah (PS) tu macam tak ada effect pun. Macam buang masa je buat PBS. Tak apa lah, saya buat PBS sebagai latihan murid di dalam kelas. Kayu pengukur keputusan terletak di PT3. 

Sebab apa keputusan PT3 2015 bertambah baik? Jadi lebih baik? Sebenarnya gred itu sendiri. Pada tahun ini gred PT3 2015 mungkin berubah mengikut unjuran graf. Ada juga yang mengatakan julat markah gred PT3 berubah di mana 80 markah sudah boleh mendapat Gred A, tidak seperti tahun lepas di mana 85 markah baru dapat Gred A. Saya mendapat gambar perubahan baru Gred PT3, iaitu tafsiran Gred PT3 bagi semua mata pelajaran. Mungkin betul, sebab setiausaha peperiksaan PT3 sekolah saya tak buat analisis markah pulak pada tahun ini. 


Kepada pelajar yang mendapat keputusan cemerlang, tahniah saya ucapkan. Teruskan usaha untuk peperiksaan SPM pula. Bagi pelajar yang kurang cemerlang, jangan berputus asa. Gegaran anda belum terhenti. SPM nanti adalah penentu hidup anda. Banyak lagi aliran yang boleh anda pilih untuk meneruskan kerjaya anda. 


lovenota : ok sambung marking paper..hihi


3 comments:

  1. alhamdulillah la bertambah baik huhuhu

    ReplyDelete
  2. cikgu,tahun ni pon gred sama dengan gred tahun lepas ke?sebab saya tak expect saya dapat 5A keatas tapi boleh pulak dapat 6A hihi alhamdulillah!

    ReplyDelete

komen yang baik2 je taw!
thanks! arigatou! gracias! danke! gamsahabnida!
(✿◠‿◠)

Copyright © 2008-2020 by Ⓜⓘⓢⓢ Ⓑⓐⓛⓠⓘⓢ™. All Right Reserved ®